Dalam kita mencari ilmu untuk beribadah
menurut apa yang diajar oleh Nabi saw, masih ramai lagi yang keliru
dalam memahami kaedah sebenar sebagai panduan dalam beribadah. Maka
lahirlah begitu banyak perselisihan di dalam bab ini. Baik perselisihan
dengan golongan
ahli ahwa’ (golongan rafhidhah yang
menghalalkan bid’ah di dalam urusan agama) yang sememangnya tersasar
dari Manhaj As-Sunnah mahupun perselisihan sesama golongan yang
berfahaman atau bermanhaj As-Sunnah.
Perbincangan di sini akan difokuskan
kepada isu yang menjadi persoalan dalam masyarakat, apabila ada ahli
ilmu atau pencinta ilmu dalam kalangan ahli ibadat, orang masjid yang
melakukannya.
Kita
sedar dan faham bahawa perkara yang dibincangkan ini adalah dikatakan
perkara khilaf yang menjadi perbezaan pandangan para ulama’ dahulu dan
sekarang. Namun untuk menjelaskan isu ini eloklah kita rujuk pandangan
imam yang besar dan pandangan ulama’ dalam kalangan pendokong Mazhab
Syafie yang dekat dengan jiwa kita.
Membaca selawat sambil diiringi rebana, gendang atau yang seumpamanya (alat muzik).
Perbuatan
ini sama juga seperti membaca qasidah-qasidah atau sya’ir-sya’ir yang
dinyanyikan dan diringi dengan pukulan kayu, rebana atau seumpamanya.
Bahkan lebih teruk lagi sambil menggoyang-goyang badan, berpusing-pusing
danmenari-nari. Ia disebut dengan istilah
as-Sama’ atau
Taghbir
(sejenis syair berisi anjuran untuk zuhud di dunia yang dinyanyikan
dengan sebahagian hadirin memukul-mukul kayu pada bantal, kulit atau
sebagainya sesuai dengan irama lagunya).
Antara Pandangan Ulama’-ulama’ Ahlus Sunnah:
1) Imam Asy-Syafei (wafat 204H) berkata:
خلفت ببغداد شيئاً أحدثته الزنادقة يسمونه التغبير يصدون به الناس عن القرآن
“Di Iraq, aku meninggalkan sesuatu yang dinamakan taghbir. (Iaitu) perkara baru yang diada-adakan oleh Zanadiqah (orang-orang zindiq; menyimpang), mereka menghalangi manusia dari al-Quran.” [Riwayat Ibnul Jauzi, dalam Talbis Iblis].
Ulama’ menjelaskan perkataan Imam asy-Syafei tersebut dengan mengatakan:
وما
ذكره الشافعي – رضي الله عنه – من أنه من إحداث الزنادقة – فهو كلام إمام
خبير بأصول الإسلام؛ فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا
من هو متهم بالزندقة…ذكر أبو عبد الرحمن السلمي في مسألة السماع….”.
“Apa yang disebutkan oleh Imam asy-Syafei rahimahullah
(bahawa perbuatan tersebut merupakan hasil ciptaan para zindiq), adalah
suatu pandangan seorang imam yang ahli dalam ilmu usul dalam Islam.
Kerana pada dasarnya, tidak ada yang menggalak dan menganjurkan nyanyian
melainkan orang-orang zindiq….. sebagaimana yang disebutkan oleh
Abdurrahman as-Sulami dalam Mas’alah as-Sama’ daripada Ibnu Rawandi.” [Majmu’ al-Fatawa, 11/570].
Dalam kitabnya, “Al-Umm”, Imam asy-Syafei rahimahullah menegaskan lagi bahawa:
(قَالَ
الشَّافِعِيُّ – رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -): “فِي الرَّجُلِ يُغَنِّي
فَيَتَّخِذُ الْغِنَاءَ صِنَاعَتَهُ يُؤْتَى عَلَيْهِ وَيَأْتِي لَهُ،
وَيَكُونُ مَنْسُوبًا إلَيْهِ مَشْهُورًا بِهِ مَعْرُوفًا، وَالْمَرْأَةُ،
لَا تَجُوزُ شَهَادَةُ وَاحِدٍ مِنْهُمَا؛ وَذَلِكَ أَنَّهُ مِنْ اللَّهْوِ
الْمَكْرُوهِ الَّذِي يُشْبِهُ الْبَاطِلَ، وَأَنَّ مَنْ صَنَعَ هَذَا
كَانَ مَنْسُوبًا إلَى السَّفَهِ وَسُقَاطَة الْمُرُوءَةِ، وَمَنْ رَضِيَ
بِهَذَا لِنَفْسِهِ كَانَ مُسْتَخِفًّا، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ مُحَرَّمًا
بَيِّنَ التَّحْرِيمِ، وَلَوْ كَانَ لَا يَنْسُبُ نَفْسَهُ إلَيْهِ،
وَكَانَ إنَّمَا يُعْرَفُ بِأَنَّهُ يَطْرَبُ فِي الْحَالِ فَيَتَرَنَّمُ
فِيهَا، وَلَا يَأْتِي لِذَلِكَ، وَلَا يُؤْتَى عَلَيْهِ، وَلَا يَرْضَى
بِهِ لَمْ يُسْقِطْ هَذَا شَهَادَتَهُ، وَكَذَلِكَ الْمَرْأَةُ”. [الأم
للشافعي (6/ 226)- الشاملة].
“Seorang
lelaki yang menyanyi dan menjadikannya sebagai pekerjaan, adakalanya ia
diundang dan adakalanya ia didatangi sehingga ia dikenali dengan
gelaran penyanyi, juga seseorang wanita (yang seperti itu), maka tidak
diterima sumpah persaksiannya. Kerana menyanyi termasuk permainan yang
dibenci. Tetapi, adalah yang lebih tepat, sesiapa sahaja yang
melakukannya, maka ia disebut sebagai dungu (bodoh) dan mereka termasuk
orang yang sudah tiada harga diri (jatuh maruahnya)…” [Asy-Syafei, al-Umm, 6/226].
Bagi
mazhab asy-Syafei sendiri dinyatakan bahawa: “Diharamkan mengguna dan
mendengar alat-alat muzik seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua
piring tembaga yang saling dilagakan bagi menghasilkan bunyi), gendang,
serunai dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram
tanpa khilaf. Dibolehkan duff (kompang) bagi majlis kenduri kahwin,
berkhatan atau seumpamanya. Nyanyian jika tanpa alat muzik, hukumnya
makruh (dibenci) dan jika dengan diiringi alat-alat muzik hukumnya
adalah haram.” [Lihat perbahasannya dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Faz al-Minhaj, Kitab asy-Syahadat karya Imam Muhammad bin Ahmad bin al-Khathib asy-Syarbini].
2) Imam Ahmad apabila ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Bid’ah.” [Riwayat Al Khallal. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 163].
3) Al-Qadhi Abu at-Toyib al-Tobari (wafat 450H), seorang
tokoh ulama’ Syafie yang telah menyatakan bahawa: “Kumpulan yang
menyanyi untuk ibadah ini telah menyalahi jamaah muslimin kerana telah
menjadikan nyanyian sebagai agama dan ketaatan. Iklan-iklan mereka
terdapat di masjid-masjid, jami’ah dan semua tempat mulia.” [Mas’alah as-Sama’, Ibnu al-Qayyim].
4) Imam At-Tartusyi (wafat 520H), tokoh
ulama’ Maliki dari kota Qurtubah; telah ditanya tentang satu kelompokdi
suatu tempat yang membaca Al-Quran, lalu seseorang di antara mereka
menyanyikan sya’ir, kemudian mereka menari dan bergoyang. Mereka juga
memukul rebana dan memainkan seruling. Apakah menghadiri majlis mereka
itu halal atau tidak?
Beliau
menjawab: “Jalan mereka itu adalah batil dan sesat. Islam itu hanyalah
kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Adapun menari dan berpura-pura
menampakkan cinta (kepada Allah), maka yang pertama kali
mengada-adakannya adalah kawan-kawan Samiri (pada zaman Nabi
Musa). Iaitu ketika Samiri membuatkan patung anak lembu yang boleh
bersuara untuk mereka, lalu mereka datang menari di sekitarnya dan
berpura-pura menampakkan cinta (kepada Allah). Tarian itu adalah agama
orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.
Adapun
majlis Rasulullah SAW dan para sahabatnya penuh ketenangan, seolah-olah
di atas kepala mereka dihinggapi burung. Maka seharusnya pemerintah dan
wakil-wakilnya melarang mereka menghadiri masjid-masjid dan lainnya
(untuk menyanyi dan menari, Pen). Dan bagi seorang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, tidaklah halal menghadirinya. Tidak halal
membantu mereka melakukan kebatilan. Demikian ini jalan yang ditempuh
oleh (Imam) Malik, Asy-Syafei, Abu Hanifah, Ahmad dan lainnya dari
kalangan imam-imam kaum muslimin.” [Tafsir Al-Qurtuba 11/238 Syamilah. Lihat Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 168-169].
5) Imam Al-Hafiz Ibnu As-Solah (wafat 643H), imam terkenal penulis kitab Muqaddimah ‘Ulumil Hadis.
Beliau juga ditanya tentang orang-orang yang menghalalkan nyanyian
dengan rebana dan seruling, dengan tarian dan bertepuk-tangan. Mereka
menganggapnya sebagai perkara halal dan qurbah (perkara yang mendekatkan diri kepada Allah), bahkan(katanya sebagai) ibadah yang paling utama.
فتاوى ابن الصلاح (2/ 499): مَسْأَلَة أَقوام يَقُولُونَ إِن سَماع الْغناء بالدف….
Kesimpulan
jawapan beliau ialah: “Mereka telah berdusta atas nama Allah Ta’ala.
Dengan pendapat tersebut, pandangan ini masyhur di kalangan golongan batiniyyah yang Mulhidin (menyimpang). Mereka juga bertentangan dengan ijma’.
Sesiapa yang menentang ijma’, (ia) terkena ancaman firman Allah:
{وَمَن
يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ
غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ
وَسَآءَتْ مَصِيرًا }
{Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan
yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa
terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke
dalam Jahanam.Dan Jahanam itu seburuk-buruknya tempat kembali.} [An-Nisa:115]”. [Fatawa Ibnu As-Solah, 2/499- Syamilah. Lihat: Kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 170].
5) Syeikh Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiah rahimahullah berkata:
“Dan telah diketahui secara pasti dari agama Islam, bahawa Nabi SAW
tidak mensyariatkan kepada orang-orang soleh dan para ahli ibadah dari
umat Baginda, agar mereka berkumpul dan mendengarkan bait-bait yang
dilagukan dengan bertepuk tangan, atau pukulan dengan kayu (stik), atau
rebana. Sebagaimana Baginda tidak membolehkan bagi seorangpun untuk
tidak mengikuti Baginda, atau tidak mengikuti apa yang ada pada Al-Kitab
dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Baginda tidak membolehkan, baik dalam
perkara batin atau zahir, untuk orang awam atau untuk orang tertentu.” [Majmu' Fatawa, 11/565. Dinukil dari kitab Tahrim Alat Ath-Tharb, ms. 165].
6) Fatwa Imam as-Suyuthi rahimahullah (wafat 911H):
“ومن ذلك الرقص، والغناء في المساجد، وضرب الدف أو الرباب، أو غير ذلك من آلات الطرب.فمن فعل ذلك في المسجد، فهو مبتدع، ضال، مستحق للطرد والضرب؛ لأنه استخف بما أمر الله بتعظيمه، قال الله تعالى: (في بيوت أذن الله أن ترفع ” أي تعظم ” ويذكر فيها اسمه)،
أي يتلى فيها كتابه. وبيوت الله هي المساجد؛ وقد أمر الله بتعظيمها،
وصيانتها عن الأقذار، والأوساخ، والصبيان، والمخاط، والثوم، والبصل، وإنشاد
الشعر فيها، والغناء والرقص؛ فمن غنى فيها أو رقص فهو مبتدع، ضال مضل،
مستحق للعقوبة”. [الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع - (ج 1 / ص 30) المكتبة الشاملة].
“Dan
di antaranya adalah menari, menyanyi di dalam masjid, memukul kompang
(atau gendang) atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola),
atau selain itu dari jenis-jenis alat-alat muzik.
Maka sesiapa yang melakukan perkara yang tersebut di dalam masjid maka dia adalah mubtadi’
(pelaku bid’ah), sesat, perlu dihalau dan boleh dipukul, kerana dia
meremehkan perintah Allah untuk memuliakan masjid. Allah SWT berfirman: “Bertasbihlah
kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan
(iaitu menggagungkannya) dan disebut nama-Nya di dalamnya.” [An-Nur, 24: 36]. Iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.
Rumah-rumah
Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk
memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak (dari mengotori
masjid), hingus, bawang putih, bawang merah (memakannya kemudian ke
masjid tanpa bersugi terlebih dahulu), nasyid-nasyid, sya’ir, nyanyian
dan tarian di dalamnya. Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di
dalamnya maka dia adalah pelaku bid’ah, sesat dan menyesatkan, dan
berhak dikenakan hukuman.” [Jalaluddin as-Suyuti, Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’, m/s. 30 – Al-Maktabah Asy-Syamilah].
Bagi orang Malaysia pula, Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:
Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.
Ibadah. Tarikh Keputusan: 29 Dec, 2010.
Keputusan:
(a) Dilarang
memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam
masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan
syariat dan akhlak Islam;
(b)
Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan
muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh
dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan
pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.
Status Penwartaan: Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 5 Jan, 2012
Nombor Rujukan: JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: Melaka.
PENUTUP
Demikianlah
penjelasan yang ringkas tentang masalah ini, kami nukilkan untuk
maklumat dan penjelasan kepada masyarakat, lakukanlah amalan yang jelas
ada dalil keharusannya, mencari yang benar dan tidak ada keraguan dalam
beribadat adalah selamat sebagaimana yang diputuskan oleh para ulama’
bahawaالخروج من الخلاف مستحب
“Keluar dari perkara khilaf adalah dituntut”.
Perintah Nabi SAW:
عن الحسن بن علي بن أبي طالب سبط رسول الله وريحانته رضي الله عنه قال: حفظت من رسول الله صلى الله عليه وسلم:(دعْ ما يرِيبُك إلى ما لا يريبُك )رواه الترمذي وقال : حديث حسن صحيح .
“Tinggalkan apa yang kamu ragu kepada perkara tidak meragukan kamu”. [HR: Tirmizi, hasan sahih]
Perbuatan ini adalah khilaf antara Haram dengan Harus, bukan
antara afdhal dengan kurang baik. Alhamdulillah, jalan ibadat kepada
Allah yang sahih banyak dan luas kenapa mencari jalan yang kabur dan
tidak jelas. Uslub untuk berdakwah dengan cara yang selamat masih
banyak, tidak perlu menggunakan jalan yang meragukan keharusan amalnya,
juga kesan akan kejayaannya.
Dalam
ibadah tidak memadai hanya niat yang baik tanpa mengikut Syariat atau
Sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi dengan cara yang betul. Firman
Allah SWT:
}الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ{
{Dia-lah
yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup – untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.} [al-Mulk 67:02]
Makna “lebih baik amalnya” (أحسن عملا )ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul (أخلصه وأصوبه).Ini kerana sesuatu amalan jika ikhlas tetapi tidak betul maka ianya tidak diterima.Begitu
juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas, maka ianya tidak diterima
juga. Betul di dini merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an
dan al-Sunnah.
Insan
tanpa panduan al-Quran dan al-Sunnah akan tersesat dalam menentukan
cara ibadah kepada tuhan. Inilah yang berlaku di dalam agama-agama
palsu. Mereka mencipta cara ibadah menurut akal fikiran mereka tanpa
tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa kehendak tuhan
dalam ibadah tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka itu ikhlas.
Keikhlasan tanpa diikuti dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan
al-Sunnah adalah tidak mendapat tempat.
Maka ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW berdalilkan apa yang disebut oleh Allah SWT:
}قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ{
{Katakanlah
(wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} [Aal Imran 3:31]
Ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah SWT:
}وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِي{
{Dan
sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima
daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.} [Aal Imran 3:85]
Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (774H) ketika
menafsirkan ayat di atas: “Sesiapa yang melalui suatu cara yang lain
dari apa yang disyari‘atkan oleh Allah maka sama sekali ianya tidak
diterima.” [Tafsir Ibn Kathir].
Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi juga mengingatkan:
“Hendaklah
seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan
untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah
semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang
disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (tatacara) yang diredhai-Nya.
Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh
manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan”. [Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam].
Semoga kita mendapat bimbingan dan rahmat dalam beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah, Alhamdulillah Rabbil ‘alamin.
وصل الله وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Sumber:
Di Susun Oleh:
Al-Faqir Ilallah, Abu Anas Madani.
13 R. Awal 1434H – 25/1/2013M.