"Ya Allah aku cintakanMu walaupun cintaku sering terganggu!”
Allah...
Seperti insan lain, aku juga manusia yang sentiasa diuji. Bila badai melanda, Kau kukuhkanlah kemudi. Andaikata terpaksa melabuh sauh kehidupan seketika. Tenangkanlah aku. Bantu aku untuk muhasabah tanpa berkata-kata, tanpa tindak dan gerak. Cuma fikir dan berdoa.
Aku dahagakan cintaMu ya Allah. Aku ingin Kau tahu sejahat mana pun aku, selalai mana pun aku, aku tetap cintakanMu ya Allah. Aku akui. Engkau bukan permata. Bukan juga mutiara. Tetapi Engkaulah yang Maha Pemilik segala. Engkaulah yang memegang hati ini.
Allah tolonglah jagalah hati ini. Tolong aku menjaga mazmumah yang menerjah dan melintas. Jangan biarkan dia singgah. Jikapun singgah ya Allah jangan biar ia berlama-lama. Bukan mudah “mengaplikasikan” hati dan diri pada prinsip cinta yang satu.
Aku dambakan hati yang menangis di kala malam berlabuh. Hati yang meronta kerana terlalu merinduiMu. Hati yang tidak sanggup berjauhan denganMu walau sedetik. Hati yang terasa keseorangan walaupun keramaian.. Hati yang mengerti maksud Mahabbah kepadaMu. Hati ini mahu setiap denyut nadinya hanyalah untukMu.
Setiap titis darah yang mengalir dalam pembuluhku setia menyebut namaMu. Berusaha untuk tidak mengingkari nikmat agung kurniaanMu.
Ya Allah.......
Aku mengharapkan cinta semulia Nabi Muhammad. Kasih yang tidak berbelah bahagi Al Khalil Ibrahim. Sifat pengasihani Siti Khadijah. Rindu sesetia Rabiatul Adawiyah. Sabar secekal Fatimah. Yakin sesuci Asiah. Iman seteguh Sumayyah. Jiwa sekental Bilal bin Rabah.
Aku benar-benar ingin merasa nikmat cinta kepadaMu. Aku cintakanMu ya Allah.
Janganlah Engkau padam api kecintaanku terhadapMu ya Allah. Malah ku pohon agar Engkau semarakkannya dengan kasihMu dan nurMu. Aku memerlukanMu pada setiap detik hidupku. Aku sentiasa berkehendak kepada cintaMu, rahmatMu dan petunjukMu.
Biar hati ini menolak cinta insani. Biar badan lesu ditohmah kesibukan dakwah. Usah kau menangis wahai mata hati. Menangislah andai cintamu ditolak Allah. Kerna itu lebih celaka daripada menangis kerana manusia dan dunia.