Thursday 6 June 2013

Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.
Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook, twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan RasulNYa. terdapat jutaan hadis palsu, terutamanya yang diriwayatkan oleh orang-orang kafir Syiah, berikut antara hadis-hadis palsu
1. Sabda Nabi: “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”
2. Sabda Nabi; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”.
3. Sabda Nabi: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”.
4. Sabda Nabi: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir” (Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)
5 Sabda Nabi: “Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy” 
6. Sabda Nabi: “Memakan ikan melemahkan jasad”.
 7.  di riwayatkan: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”.
 8. Sabda Nabi:  “Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”.
9.  Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang menziarahi kedua-dua orang tuanya, maka Allah mencatat untuknya setiap langkahnya dengan 100 kebaikan dan menghapuskan 100 kejahatan serta mengangkat untuknya 100 darjat, apabila dia duduk di hadapan kedua-dua orang tuanya serta bercakap dengan perkataan yang baik, maka kelak pada hari kiamat Allah Taala akan memberi kepadanya nur cahaya yang memancar di hadapannya. Apabila dia kembali dari ziarahnya itu, maka kembalilah dia dengan mendapat keampunan." (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Zar al-Ghifari)
10.  Rasulullah s.a.w. bertanya kepada iblis, "Wahai iblis, siapakah orang yang paling kamu suka?"
Jawab iblis dengan panjang lebar: "Orang yang sangat aku suka ialah lelaki atau wanita yang tidak mahu mencukur bulu ari-arinya (kemaluannya) dalam tempoh 40 hari. Aku akan duduk di situ mengecilkan diriku seperti kutu. Aku membuat sarang di sana, dan aku juga bergantung dan berbuai-buai pada bulu ketiaknya yang tidak dicukur atau tidak dicabut dalam masa 40 hari".
 Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh.

No comments:

Post a Comment